Hidup manusia tidak pernah lekang dengan ujian dan cabaran. Itulah lumrah kehidupan. Naik turun pasang surut perlu ada sebagai perencah penambah rasa dalam kehidupan. Tidak dapat ku nafikan aku juga mengalami pasang surut dalam kehidupanku sehinggalah aku berubah menjadi sangat pasif dan seolah-olah kalah sebelum berjuang. Hari-hariku disulami tangisan pada malam-malamku memikirkan apakah aku mampu melawan dan menghadapi cabaran hari esok. Aku rasa takut, takut kalah sebelum berjuang. Sehinggalah aku kembali dan menyelusuri ayat-ayat Sang Pencipta:-
ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]
Aku mula menyedari, bukan kesedihan sahaja adalah dugaan, malah rasa senang juga adalah dugaan dari-Nya. Aku benar-benar melupakanMu Ya Allah kerana terlalu asyik dengan keseronokan duniawi. Aku lalai. Satu persatu nikmat mempunyai ramai kawan ditarik dariku. Aku diduga dengan salah faham yang tidak dapat aku selesaikan ditempat kerja. 2 tahun yang lepas, aku berkhidmat di sebuah syarikat jurutera perundingan (Syarikat Swasta) di selatan tanah air. Kerja mereka bentuk menggunakan perisian Esteem dan AutoCad sememangnya sangat mencabar dan aku sangat suka pekerjaanku pada masa itu. Namun aku diduga..Diskriminasi, penindasan demi penindasan tidak dapat aku tanggung.Sehinggalah berlaku pertentangan idea antara aku dan drafperson atas berkaitan hal kerja. Perkara ini berlanjutan sehingga aku dipulaukan oleh beberapa staf. Diduga selama 3 bulan, aku terpaksa bersendirian menguruskan setiap kerja-kerja drafting, lagi menjengkelkan kerana setiap hari terpaksa menatap wajah masam mencuka kakak draftperson yang satu itu. Kesedihan dan kekecewaanku atas perubahan sikap stafku yang seorang ini mendorong aku untuk tekad melarikan diri mencari kerja di tempat lain. Satu hari aku terjumpa petikan ayat kalimah Sang Pencipta:-
“...Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluannya).” (Surah a-Talaq: 2-3)
Serasa menyerap kalimah ini ke dalam jiwaku yang serba kacau dan penuh konflik tatkala itu. Alhamdulillah, berkat restu dari kedua orang tuaku yang sememangnya memahami tekanan yang kurasai bekerja di syarikat itu, akhirnya permohonan dan temuduga yang kulalui pada Disember 2013 telah membuahkan hasil. Aku mendapat tawaran bekerja disebuah organisasi terkemuka di Malaysia (tidak dinamakan). Aku pergi meninggalkan syarikat itu dengan berat hati kerana pada mulanya, aku dan stafku yang sorang ini sememangnya berkawan rapat. Namun masa mengubah segalanya, dia seakan-akan tidak mengenaliku dan perbualannya tidak seramah dulu. Aku berkemas-kemas dan memasukkan segala barangan dan kerja-kerjaku selama 2tahun berkhidmat di situ. Semasa hari perpisahan, aku berlalu dan melepasi stafku yang sorang ini.."Sue akak minta maaf ya kalau ada tersalah kata dan guriskan perasaan Sue" dia menghulurkan salam lalu memelukku erat. Terasa lemah dan sayu jiwaku..Hancurlah setinggi-tinggi tembok keegoanku selama ini. Aku sememangnya suka berdiam diri dari memanjangkan pergaduhan.."Takpe kak.Sue pun sama..minta maafla andai ada tersilap kata dan perbuatan"...Aku tekadkan jua langkahku ini..dengan niat untuk menjaga ukhwah dan tidak mahu memanjangkan lagi persengketaan ini..Biarlah semua ini tinggal kenangan yang mengajar aku dan dia erti kedewasaan...Aku pasrah...Langkah harus diteruskan..
~Tamat Babak 1~
